Halwa Telinga

https://r3---sn-uphxqvujvh-30al.googlevideo.com/videoplayback?sparams=dur%2Cid%2Cinitcwndbps%2Cip%2Cipbits%2Citag%2Cmime%2

Thursday, 17 April 2014

Kematian itu suatu kepastian

"Moga Mas kuat kak Za doakan.. kak Za mintak Mas halalkan buku-buku yang kak za pinjam dari Mas ya"

Masih terbayang-bayang lagi senyuman dan kata-kata semangat darinya semasa melawat di teratak kami. Moga kak za termasuk salah seorang daripada kalangan hambaNYA yang shuhada..

Al-fatihah ila zaujatu mudir MATM, ustaz Kamal Saffian.

Ya, Kematian itu suatu kepastian bagi ku dan untuk semua makhluk yang  bergelar makhluk kepada DIA Sang Pencipta. Samada diri ini bersedia  ataupun tidak maka wajiblah untuk menghadapinya walau dalam keadaan yang bagaimana sekalipun.

"Dimana jua kamu berada, kematian pasti menemui kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh." - Surah An nisa' : Ayat 78

 Semenjak ayah pergi meninggalkan kami di dunia yang penuh kefanaan ini, motivasi diri perlu lebih ditingkatkan lagi bahawa aku tidak perlu terlalu bergantung kepada doa manusia sahaja malah aku mampu mendapat doa selain daripada manusia berganda banyaknya. Bagiku doa daripada manusia untuk hambaNYA bagaikan anugerah drpdNya kepada kita sebagai tnda kasihnya Dia.

Tanggal 19 Mac 2014 ayah pergi meninggalkan dunia ini. Untuk sem ini hidupku penuh dikelilingi manusia-manusia yang pergi meninggalkan ku tanpa diduga. Manusia-manusia yang terlalu banyak curahan ilmu dan nasihat pergi mendahului diri ini. Tarbiyah terus dariNYA ini ku anggap bagaikan anugerah hebatnya untuk aku lebih matang dalam menghadapi hidup yang penuh pancaroba.

The love never end..Same goes with the tears. But Allah is everything to me now.

Al-fatihah buat Ayahku.

Adnan bin Che Harun nama anugerahNYA untuk ayah. Lahirnya ayah pada 19 Ogos 1967. Maka untuk tahun ini genap  sudah umur ayah 47 tahun. Perkahwinannya dengan emakku Raniah Binti Harun sudah 23 tahun lamanya. Umurku pula sudah mendaki 22 tahun tuanya.

Bagiku ayah seorang yang sangat garang. Garangnya membuatkan aku takut untuk melanggar suruhan dan larangan baginda. Walaupun demikian ayah selalu sediakan yang terbaik untuk anak-anaknya terutama kami puteri-puterinya.  Ayah pernah berkata “Nak jaga lembu sekandang sangatlah susah, tapi nak jaga anak perempuan walaupun seorang  teramatlah susah”. Aku faham maksud di sebalik kata–kata ayah ini kerana ayah pernah mengajar kami bahawa Rasulullah pernah menkhabarkan pada kita umatnya ini bahawa“Barangsiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan, kemudian dia berbuat baik kepada mereka, maka anak-anak perempuan tersebut akan menjadi penghalang dari siksa api neraka” (H.R Muslim 2629)


Ayah memuliakan kami dengan kalam baginda. Sungguh aku rindu saat-saat indah kami berta’alim di teratak hijau itu. Benarlah kata mutiara kata ini ‘Rumahku Syurgaku’.

Aku tahu bukan ayah yang melahirkan ku, tapi suaranya adalah antara suara pertama yang menjadi perantaraanku dengan Sang Pencipta. Aku sememangnya tahu bahawa ayah tidak boleh menyusuiku bahkan mustahil untuknya menyusuiku. Tetapi keringat hangatnya selama hidupku 22 tahun ini menjadi suapan dimulutku tiap-tiap hari. Tangisan ayah juga tidak pernahku lihat kecuali di suatu pagi Duha yang mana ayah tidak perasan akan kehadiranku melihatnya dalam keadaan sebak sendu bermunajat pada kekasihNYA yang Maha Satu. 

Ya sememangnya aku tidak pernah mendengar tangisan ayah kerana dia ingin kami melihatnya kuat dan tanpa ragu untuk kami berpaut di lengannya bahkan selesa di dadanya untuk berlindung ketika kami dalam ketakutan. Pelukannya juga mungkin tidak seerat pelukan emak, kerana aku tahu ayah tidak akan sanggup untuk melepaskanku pergi daripadanya.

 Ayah pernah membisikkan di telingaku ini bahawa, ayah ingin semangtku kuat ketika ayah pergi dahulu dan teruskan perjuangannya sekiranya  ada sesuatu yang berlaku padanya. Bahkan aku boleh menghadapinya menjadi ketua keluarga yang solehah. Ingatanku masih segar akan pelukan ayah yang mengejut itu. Itulah pelukan terakhir darinya hadiah untukku.

Sebelum ayah menjadi ustaz sepenuh masa di madrasahnya itu ayah pernah menjadi pegawai penjara sehinggalah ayah difitnah menjadi penghasut. Ya , aku masih kecil untuk menilai erti kesusahan hidup kami pada masa itu. Emak mengatakan bahawa ayah pernah diletakkan pada tengkuknya  senapang M16 gara-gara menolong Islam di Marang, Terengganu. Hanya menunggu masa untuk menjadi salah seorang daripada tahanan ISA sahaja pada masa itu bersama dengan anak Tok Guru Nik Aziz. Semuanya ini berlaku setelah berjumpanya ayah dengan baginda Muhammad s.a.w.. Hebat sungguh ujian yang kau tempuh ayah. Sungguh aku cemburu dengan ayah.

Kini ayah telah pergi untuk selama-lamanya. Lelaki pertama dalam hidupku ini telah pergi meninggalkan tangungjawabnya padaku. Walaupun jasad lelaki ini telah pergi dariku tetapi cinta lelaki ini hingga ke akhirnya akan mekar menyubur hidup di jiwaku. Aku redha akan pemergianmu ayah walaupun hati ini selama-lamanya akan merinduimu. Tiada lagi manusia yang bergelar lelaki yang akan mengadu dan meluahkan perasaannya padaku tentang kehidupan sehariannya. Cita-citaku untuk memakaikan baju konvo untuk ayah tiada kesampaian dan tiada juga lelaki yang paling rapat denganku yang akan menemani mengambil skrol ketika konvo nanti. 

Alhamdulillah emak kuat untuk kami berpaut manja padanya. Terima kasih ayah kerana mengajar emak akan ilmu agama. Di mataku kini ku melihat segala ajaran ayah cuba untuk di aplikasikan dalam hidupnya emak. Auratnya semakin terjaga, amal salihnya semakin giat dilakukan. Terima kasih ayah. Dengan izinNYA setiap hari kami akan kirimkan doa untukmu ayah. Terima kasih untuk segala ajaran kiriman darinya Baginda Muhammad s.a.w. wahai lelakiku, ayah.

Allah berfirman dalam surat cintaNYA, “Katakan 'Salam' daripada Tuhan yang Maha Penyayang”. Ayat dari surah Yasin ini membuatkan aku menangis terbayangkan ayah di alam sana.
Al-fatihah buat Ayah. Moga bahagia ayah di sana.

~ إنا لله و إنا إليه راجعون ~

No comments:

Post a Comment