~ Bila kekasih mengundang aku pulang..
"Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.
Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, DIA lah Yang
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Dan kembalilah kamu kepada Tuhan mu, dan berserah
dirilah kepadaNYA sebelum datang azab kepadamu, kerana sesudah itu kamu tidak
dapat ditolong."
(39: 53-54)
Kembali..Ya, Kembalilah..
Bila kekasih… mengundang aku pulang… mahligai menanti
penuh gemilang… bila kekasih menyingkap tabir cinta… tiada terbatas dengan
kata-kata…
~~Lagu yang mengisahkan tentang taubatnya seorang hamba.
Itulah yang diungkapkan dengan “Bila kekasih mengundang aku pulang”. DIA telah
melorongkan jalan hidayahNya pada hamba-hamba yang dikehendakiNya. Jalan
hidayah yang penuh dengan liku-liku dan warna keinsafan. Apabila DIA mula
menunjukkan erti sebenar zat, sifat, af’aal dan asmaNYA… maka tidaklah boleh
terungkap dengan sebarang bentuk kata-kata. Kerana itu adalah sesuatu yang
sangat indah…
Dapatkah aku membalas dengan air mata… tanda syukur
menerima setelah sekian lama… menghamba hidup pada dunia…
~~Gugurnya airmata keinsafan itu adalah tanda hati
seorang hamba yang lemah. Lemah dengan Hakikat Cinta Allah yang begitu agung,
suci dan tiada ragu-ragu padaNya lagi. Maka bersujud syukurlah sang hamba dalam
keikhlasan menerima jalan Allah setelah hampir separuh kehidupannya tewas dan
tunduk pada nafsu dunia…
Seribu tahun takkan sama… sesaat bersatu dalam nyata…
kerana kasih ku sanggup korbankan… jasad dan nyawa…
~~Sesaat walau sedetik tajallinya zat Allah itu adalah
lebih berharga daripada kehidupan yang panjang bak beribu tahun. Kerana Kasih
Hakiki itulah sang hamba sanggup mengorbankan apa sahaja bahkan perkara yang
paling berharga iaitu nyawanya sendiri. Kerana ‘mati’ itu adalah lebih baik
daripada bernyawa. Itulah syarat untuk bertemu DIA.
Terang bulan kerana mentari… hadir bayang kerana cahaya…
begitulah cinta kita…
~~Bulan bersinar kerna adanya sang mentari… wujudnya
bayangan kerana adanya cahaya. Begitulah perumpamaannya bagi mereka yang telah
mengenali siapa itu ALLAH.
Tiada jarak pemisah lagi… tiada garis sempadan budi… aku
terima dan jua memberi… seikhlas hati…
~~”Aku berada dekat sekali dengan hambaku lebih hampir
daripada pembuluh halkum mereka”. Apabila tiba di peringkat makrifatullah,
itulah yang akan dirasai oleh sang hamba. Memberi dan menerima cintaNYA dengan
hati yang terbuka. Bukan hanya sebesar nyiru..bahkan seluas mata memandang
ikhlas Diri menerima cinta Dia.
Seribu tahun dan sejuta langkah… seribu tahun bersinar
cinta… kita bertemu di penghujung rindu…
~~’Seribu tahun dan sejuta langkah… seribu tahun
bersinar cinta… kita bertemu di penghujung rindu..’ kemuncak bagi percintaan
agung ini adalah mati. Tiada lagi sang hamba… tiada pula Sang Perindu… kerana
Yang Merindu telah mengenali siapa Sang Perindu. Itulah titik awal dan titik
akhir.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment