Halwa Telinga
https://r3---sn-uphxqvujvh-30al.googlevideo.com/videoplayback?sparams=dur%2Cid%2Cinitcwndbps%2Cip%2Cipbits%2Citag%2Cmime%2
Friday, 21 February 2014
Anak Saya Bercerita Bukan Untuk Kasim Ahmad..
Beberapa hari lepas, anak lelaki saya yang berumur 9 tahun bercerita pada ibunya satu pengalaman dirinya yang sungguh menggembirakan saya dan isteri, apatah dirinya sendiri.
Katanya, semasa di sekolah, seorang gurunya telah bercerita tentang sirah nabi Muhammad صلي الله عليه وسلم. Penceritaan gurunya itu sungguh menusuk ke dalam diri dan fikirannya sehingga seharian anak lelaki saya ini terbayang-bayang mengenai baginda al Rasul agung itu, sehinggakan dia sukar sekali melelapkan mata ketika hendak tidur pada malamnya.
Dengan izin Allah, dia ceritakan pada umminya, pada malam itu, dia telah bermimpi berjumpa Rasulullah صلي الله عليه وسلم. Katanya, dia melihat seorang lelaki berjubah putih bersinar sedang bersama beberapa oranh lelaki yang lain. Dia hanya dapat melihat tangan, kaki dan pakaian sahaja. Wajah dan selebihnya adalah cahaya bersinar yang sungguh indah.
Dalam takjub melihat dan menikmati susuk lelaki yang hebat itu, tiba-tiba salah seorang lelaki yang berada bersama berseru kepadanya, "Ya Rasulallah.."
Sebaik mendengar seruan itu, anak saya terus terjaga dan sedar dari mimpinya itu. Suasana kegembiraan begitu membalut dirinya saat terjaga. "Sungguh cantik nabi kita, ummi." Itulah ucapan yang terucap oleh anak lelaki saya itu saat bercerita pada ibunya.
Apabila isteri saya menceritakan kembali kisah itu pada saya, hati saya sungguh gembira sekali, hatta saat menulis ini pun, mata saya bergenang kegembiraan. Alangkah bertuahnya anak saya. Saya beritahunya agar bersyukur pada Allah kerana diberi anugerah dapat melihat baginda Rasulullah صلي الله عليه وسلم dan saya nasihatkannya agar sentiasa menjaga solat lima waktu.
Bermimpi berjumpa Rasulullah adalah impian setiap muslim. Ini kerana baginda telah menegaskan bahawa bermimpi menemui baginda adalah benar. Syaitan tidak diberi keizinan oleh Allah untuk menyerupai baginda walau di dalam mimpi.
Mimpi mungkin datang dalam mimpi setiap kita kerana mainan nafsu dan diri. Ia mungkin gangguan syaitan. Dan ia juga kadang kala adalah mimpi yang soleh dan baik daripada Allah.
Mimpi, walaupun yang soleh, tidak memberi apa-apa kesan hukum syariat dalam kehidupan. Ia juga tidak memberi apa-apa jaminan kebaikan dan kemaksuman dari dosa terhadap sang pemimpi, apatah untuk dijadikan hujjah dalam berhukum dan bersyariat.
Mimpi hanyalah anugerah dan berita gembira daripada Allah agar kita bersyukur, bersemangat dan bertambah keyakinan terhadap kebenaran ajaran ugama Islam yang dibawa oleh Rasulullah.
Bermimpi menemui baginda adalah sebaik-sebaik mimpi. Ia adalah kenikmatan peribadi yang tiada taranya. Mimpi itu urusan ghaibiyyat yang sukar difahami manusia. Ia hadir dalam tidur dan tiada siapa mampu menentukannya.
Rasulullah adalah nikmat kehidupan ini. Baginda rahmat buat sekelian alam. Baginda adalah obor dan cahaya yang menerangi dengan petunjuk, hidayat, keterangan dan bukti.
Sesiapa yang beriman dengan kerasulan baginda, menyokongnya, membantunya dan mengikuti cahaya yang dibawanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya dan memperoleh kemenangan.
Manakala barang siapa yang mengingkari baginda atau mengurangkan segala kelebihan pada baginda daripada kurniaan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang sesat.
Apabila manusia melalui jalan yang sesat, maka dia akan sentiasa tersesat dalam perjalanannya dari awal hingga akhir tanpa beliau sedari. Itulah seburuk-buruk kehidupan.
Apabila saya ditanya, mengapa Kasim Ahmad mengira jalannya adalah jalan yang lurus, saya hanya menjawab, "Kerana dia berjalan di atas jalan yang sesat."
- Nik Mohamad Abduh -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment